Tabung Masa Depan

Friday, March 8, 2013

Teori Behaviorisme (perlakuan) dalam Teori Pemerolehan Bahasa




            Teori behaviorisme beranggapan bahawa bahasa diperolehi melalui proses pengulangan bahasa. Ia dikuasai melalui rangsangan dan gerak balas. Golongan dalam teori ini mementingkan pengukuhan dalam pembelajaran yang dapat ditimbulkan melalui ganjaran. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran bahasa, teori ini menegaskan latihan dan latih tubi pola ( bermula daripada senang kepada yang lebih susah ) . Teori ini juga menekankan kemahiran lisan dalam pengajaran.
            Prinsip-prinsip pengajaran bahasa dari golongan ini adalah dari pandangan dan pendapat ahli-ahli psikologi dan linguistik aliran Behaviorisme. Golongan ini beranggapan bahawa; Pertama, bahasa yang diutamakan ialah bahasa lisan manakala bahasa tulisan merupakan bahasa kedua penting. Ahli-ahli Behaviorisme menegaskan bahawa pengajaran bahasa mestilah didahulukan bahasa lisan.
Kemudiannya pembelajaran bahasa tulisan yang dianggap perkara penting yang kedua dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bermakna guru-guru mestilah berusaha untuk membolehkan murid-murid bertutur dalam bahasa itu dahulu dan kemudian baharulah kepada pengajaran membaca dan menulis setelah murid-murid dapat menguasai sistem bahasa dan struktur bahasa.
Kedua, bahasa adalah satu tabiat. Prinsip ini sesuai diterapkan dalam proses pembelajaran kedua. Latihan dan latih tubi serta perbualan bahasa turut diutamakan. Guru perlu menyusun pelajaran dengan baik dan pengajaran dimulakan daripada pola-pola yang senang kepada yang lebih susah.
Ketiga, pengukuhan adalah satu syarat penting di dalam pembelajaran yang merupakan satu alat untuk menentukan pembentukan tingkah laku yang dikehendaki. Dalam situasi pembelajaran bahasa, pujian, keistemewaan, pengiktirafan, maklum balas, galakan dan lain-lain bertindak sebagai pengukuh. Mengikut prinsip ini, sesuatu gerak balas yang betul perlu diteguhkan oleh guru dengan cara memberi pengukuhan seperti yang disebutkan di atas.
Keempat, latihan pembelajaran adalah latihan yang dikukuhkan. Hal ini merupakan latihan ulangan satu-satu gerak balas dengan satu-satu rangsangan. Latihan dan latih tubi hendaklah dilakukan dalam keadaan yang bermakna. Ini adalah untuk mengelakkan pelajaran tersebut menjadi bosan.Peneguhan boleh dilanjutkan oleh guru melalui penggunaan bahan-bahan makmal bahasa. Dalam hal ini, satu model pembelajaran telah dikemukakan oleh Behaviorisme iaitu :

Latihan yang dikukuhkan -> pembelajaran -> perubahan tingkah laku


Kelima, model-model bahasa yang terbaik haruslah diutamakan. Dalam konteks pembelajaran bahasa di sekolah-sekolah. Bahasa guru menjadi model yang diikuti oleh murid-murid. Jika model-model ini menggunakan bahasa yang sama atau mirip-mirip sama dengan bahasa matlamat, maka ini akan menguntungkan pelajar-pelajar itu.
Keenam, mewujudkan operasi rangsangan dan tindak balas dalam proses pembelajaran. Bahasa adalah hasil operasi rangsangan dan tindak balas. Pembelajaran bahasa akan lebih berkesan jika kedua-dua unsur ini dapat diwujudkan. Selain bertujuan menghasilkan satu pembentukan tingkah baru yang berkesan, ia juga boleh bertindak sebagai daya penggerak dan meningkatkan minat serta motivasi.
Ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh guru untuk mempelbagaikan situasi rangsangan. Pertama adalah dengan cara mempelbagaikan tingkah laku. Kedua adalah dengan cara mempelbagaikan pengalihan saluran deria, ketiga dengan cara mempelbagaikan pola interaksi guru dan murid dan keempat dengan cara mempelbagaikan pendekatan, kaedah, teknik, strategi dan alat-alat bantu mengajar.
Berdasarkan teori ini terdapat satu pendekatan yang boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa iaitu melalui pendekatan induktif. Pendekatan induktif ialah memulakan sesuatu pengajaran itu dengan memberikan contoh-contoh terlebih dahulu dan kemudian baharulah diterangkan.

Cara Mempelbagaikan Situasi Pembelajaran:

1. Pelbagaikan tingkah laku.
2. Pelbagaikan pengalihan saluran deria.
3. Pelbagaikan pola interaksi guru dan murid.
4. Pelbagaikan kaedah, teknik, pendekatan, strategi dan alat-alat bantu mengajar.
5. Menggunakan pendekatan induktif (contoh diberi terlebih dahulu sebelum dijelaskan)





katakan like jika best ya!

1 comment:

Anonymous said...


the best