Tabung Masa Depan

Friday, March 8, 2013

Teori Mentalis dalam Teori Pemerolehan Bahasa




Teori mentalis pula menganggap pemerolehan bahasa merupakan satu proses mental. Menurut golongan ini lagi, seseorang itu mempunyai kecekapan (competence), iaitu rumus-rumus yang ada dalam stok mental, dan prestasi (performance) yang merupakan aspek penggunaan bahasa oleh penutur berdasarkan kecekapan. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, aspek pemikiran, pengetahuan dan makna diberikan penekanan.
Dalam bidang linguistik aliran kod-kognitif  tidak ada mencadangkan sebarang kaedah atau prinsip pengajaran bahasa yang tertentu. Walau bagaimanapun kita boleh membuat andaian beberapa prinsip pembelajaran yang dapat diwujudkan melalui pendapat dan pandangan mereka terhadap pemerolehan bahasa. Prinsip-prinsip itu adalah seperti berikut:
Pertama, pembelajaran bahasa merupakan satu proses mental. Melalui proses ini, pembelajaran bahasa dianggap sebagai satu proses pemikiran dan pemikiran ini dilahirkan melalui pertuturan.
Kedua, semua kanak-kanak dapat mempelajari bahasa kerana mereka telah dilahirkan dengan kebolehan semula jadi untuk berbuat demikian. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa guru harus menyedari bahawa kebolehan semula jadi untuk berbahasa yang ada pada kanak-kanak itu membolehkan mereka menganalisis pertuturan yang mereka dengar. Guru perlu menggunakan pengetahuan bahasa murid-murid dalam masa merancang dan menentukan bahan-bahan pengajaran yang akan diajar nanti.
Ketiga, kadar perkembangan bahasa adalah sama bagi kanak-kanak pada peringkat kematangan yang sama dalam keadaan yang normal. Prinsip ini mempercayai bahawa kematangan yang sama dalam kalangan kanak-kanak akan mempunyai ciri-ciri pembelajaran bahasa yang sama. Justeru itu, guru hendaklah berhati-hati membuat pemilihan terhadap bahan-bahan yang hendak disampaikan.
Keempat, penyampaian bermakna lebih diutamakan daripada struktur bahasa dalam sesuatu huraian bahasa. Prinsip ini menekankan kebolehan untuk menggunakan struktur-struktur bahasa yang betul dari segi tatabahasa dan makna bagi membolehkan kanak-kanak itu berkomunikasi dalam masyarakat bahasa itu. Guru harus menggunakan aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dan berkesan untuk membolehkan murid-murid menguasai struktur-struktur bahasa yang terdapat di dalam sistem bahasanya dengan baik.
Seterusnya yang kelima, tulisan dan bacaan adalah diutamakan dalam proses pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, kajian-kajian bahasa biasanya dilakukan berasaskan bahasa tulisan. Latihan-latihan tulisan yang diberi termasuklah latihan terjemahan bahan daripada bahasa sasaran ke bahasa ibunda atau sebaliknya. (bahasa Inggeris diterjemahkan kepada bahasa Melayu)
Manakala yang keenam pula adalah kajian-kajian bahasa disampaikan secara deduktif (penerangan dahulu,kemudian disusuli dengan contoh) dan tatabahasa disampaikan secara formal dalam proses pengajaran dan pembelajaran.



katakan like jika best ya!

1 comment: