Tabung Masa Depan

Monday, June 3, 2013

Nota EDU 3106- Kepentingan Kesedaran Kepelbagaian Sosio-Budaya dalam P&P



Istilah sosio budaya diambil daripada perkataan sosial dan budaya yang bermaksud hubungan masyarakat dengan budaya seperti cara hidup, amalan dan kepercayaan dan seumpamanya. Kepelbagaian sosio budaya dalam masyarakat Malaysia ini bolah dilihat jelas dalam beberapa aspek seperti bangsa, struktur masyarakat dan kelas sosial, agama dan kepercayaan, bahasa, adat resam dan jantina.


Merujuk Kamus Dewan (2007), istilah bangsa boleh didefinisikan sebagai jenis manusia atau kumpulan manusia daripada satu asal keturunan. Bangsa juga boleh diertikan sebagai suatu kelompok manusia yang dianggap memiliki identiti bersama, dan mempunyai kesamaan bahasa, agama, ideologi, budaya, dan sejarah. Penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa. Jumlah penduduk anggaran tahun 2003 ialah 25.04 juta, yang terdiri dari kaum Melayu 61%, kaum Cina 30%, kaum India 8% dan yang lain-lain 1%. Terdapat juga orang Asli, Eropah dan Serani.


Dalam aspek struktur masyarakat dan kelas sosial pula memperjelaskan mengenai kumpulan masyarakat yang terdiri daripada manusia yang hidup bersama dan berorganisasi atas dasar saling hubungan daripada pelbagai aspek hidup. Tiga konsep penting dalam kehidupan bermasyarakat perlu dititikberatkan iaitu masyarakat, budaya dan perpaduan dalam masyarakat.  Konsep masyarakat diperhatikan menerusi konsep etnik dan kaum. Hal ini dapat diperjelaskan daripada segi adat resam, pakaian, bahasa dan juga kegiatan ekonomi. Walaupun setiap kaum mempunyai perbezaan tersendiri, namun masyarakat di Malaysia adalah sebuah komuniti yang saling bergantung antara golongan yang wujud bersama. Hal ini dibuktikan melalui kegiatan ekonomi di negara kita dimana setiap kaum memberi sumbangan besar dalam sektor pertanian, peridustrian dan sumber tenaga manusia. Struktur masyarakat atau kelas sosial berperanan penting dalam mewujudkan perpaduan serta memupuk nilai-nilai positif seperti persahabatan, kerjasama, saling menghormati, tolong-menolong ke arah kehidupan yang kondusif dan harmoni.





Aspek agama dan kepercayaan juga antara isu-isu yang berkaitan dengan sensitiviti antara kaum. Oleh hal yang demikian, semua pihak perlu memahami dan menghormati kepercayaan dan amalan kepercayaan kaum lain agar tidak menyebabkan ketidakfahaman yang boleh merosakkan hubungan baik antara masyarakat di Malaysia. Di Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi. Walau bagaimanapun, agama-agama lain juga masih bebas menjalankan kepercayaan masing-masing selagi tidak menganggu ketenteraman awam dan tidak mengundang apa jua permasalahan berhubung dengan perpaduan masyarakat Malaysia keseluruhannya.


Selain itu, aspek bahasa juga merupakan suatu aspek dalam sosio budaya yang penting dalam menjadi teras perpaduan dan kesepakatan masyarakat di negara ini. Biarpun bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia, namun negara ini masih membenarkan penggunaan bahasa-bahasa lain dalam bidang-bidang tertentu. Antaranya, bahasa Mandarin juga dijadikan bahasa pengantar bagi sekolah jenis kebangsaan (Cina) dan bahasa Tamil pula diguna pakai sebagai bahasa pengantara di sekolah jenis kebangsaan (Tamil). Walau bagaimanapun, penggunaan dialek di sekolah adalah dilarang bagi mengurangkan jurang perbezaan antara masyarakat dan bahasa Melayu tetap menjadi bahasa utama dalam proses pendidikan di negara ini. Hal ini menunjukkan betapa masyarakat Malaysia mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain dalam menghormati pengamalan budaya di negara ini namun masih perlu menghormati dan  menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi mengekalkan perpaduan antara masyarakat dan kaum di negara ini.


Aspek adat resam juga tidak diambil mudah. Adat resam merupakan sesuatu cara yang telah ditentukan untuk melakukan sesuatu sesuatu yang telah diakui oleh sesebuah kelompok masyarakat. Setiap kaum mempunyai pengamalan adat yang tersendiri seperti mana yang telah diwarisi oelh sesebuah masyarakat sejak zaman nenek moyang mereka lagi dan ada sebahagian daripadanya masih diamalkan sehingga kini. Contohnya, adat resam kaum Melayu daripada segi tatacara perkahwinan bermula daripada adat merisik, bertunang, akad nikah dan seterusnya majlis perkahwinan. Namun pengamalan adat resam dalam tatacara perkahwinan pula berbeza bagi masyarakat Cina dan India.


Perbezaan daripada aspek jantina (gender) juga dilihat sebagai satu perkara penting yang perlu difahami oleh seorang guru ketika berada di dalam kelas. Hal ini disebabkan faktor jantina mempengaruhi iklim pembelajaran murid. Biarpun perbezaan lelaki dan wanita terutamanya daripada segi sikap, kematangan dan cara belajar dilihat ketara, namun faktor ini dapat memberi peluang kepada murid-murid agar bergaul secara lebih tertib, menghormati antara satu sama lain serta mewujudkan persaingan sihat sesama mereka ketika proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Oleh itu, tugas seorang guru untuk merancang dan memilih aktiviti yang sesuai dan menarik untuk murid-muridnya.





katakan like jika best ya!

2 comments:

Anonymous said...

...

Unknown said...

terima kasih awk..:)