Guru bimbingan dan kaunseling (B&K) telah mengenal pasti murid B yang menghadapi masalah pembelajaran dan memerlukan bantuan serta bimbingan. Guru kelas telah memaklumkan kepada guru B&K terhadap masalah murid B ketika di dalam bilik darjah. Guru B&K menggunakan teori pendekatan ini bagi membantu murid B menghadapi dan mengatasi masalahnya. Berikut adalah proses bimbingan kaunseling guru bersama murid B.
Klien 2 : Murid B
Masalah Pembelajaran : Prestasi murid menurun. Murid semakin pasif, kurang keyakinan diri dan murung dalam kelas.
Pendekatan Kaunseling : Teori Kaunseling Pemusatan Perorangan
Peringkat 1 : Permulaan dan Kemasukan ( Membina Hubungan)
Pada peringkat permulaan, guru B&K cuba mendekati dan berbual secara santai bersama murid agar dapat membina perasaan kepercayaan murid terlebih dahulu. Hal ini bertujuan agar guru dapat mewujudkan situasi yang menggalakkan murid agar rela meluahkan masalahnya serta mengadu tentang perkara yang menjadi gangguan dalam fikiran murid tersebut. Murid semakin selesa berbual bersama guru. Guru berjaya membina hubungan dan mendapatkan kepercayaan daripada murid. Murid menunjukkan kesediaannya untuk menceritakan masalah yang dihadapinya.
*****
Guru B&K : Cikgu gembira dapat berjumpa dengan kamu. Cikgu harap kamu sudi kongsikan masalah sebenar yang kamu hadapi. InsyaAllah kita sama- sama dapat ikhtiarkan sesuatu dan cikgu akan cuba untuk membantu kamu.
Murid B : Ya, cikgu. Begini, saya rasa saya tidak suka belajar di kelas A. Saya rasa semua kawan-kawan tidak mahu berkawan dengan saya kerana sebelum ini saya daripada kelas B.
*****
Peringkat 2 : Peringkat Penjelasan (Penerokaan)
Guru B&K cuba mendapatkan gambaran secara jelas terhadap masalah yang dihadapi oleh murid. Guru menanyakan soalan-soalan terbuka bagi menggalakkan dan mendorong murid agar murid dapat meluahkan perasaan sebenarnya. Pada waktu ini, guru cuba mengaplikasikan kemahiran menyoal, kemahiran temu bual, kemahiran interpretasi sepanjang proses kaunseling dijalankan. Selain daripada respon verbal murid, guru juga melihat tindak balas non-verbal murid. Guru mendengar luahan hati murid dengan teliti, dan memberi respon positif terhadap murid seperti anggukan, mengiyakan dan empati.
*****
Guru B&K : Bolehkah kamu beritahu cikgu kenapa kamu tidak suka belajar di kelas A?
Murid B : Saya rasa sebab mereka fikir saya daripada kelas yang kurang pandai sebelum ini. Saya tidak pandai seperti mereka. Saya malu.
Guru B&K : Mengapa kamu rasa begitu? Adakah mereka buat apa-apa pada kamu?
Murid B : Mereka tidak buat apa-apa. Tapi saya rasa segan nak ikut serta mereka.
Guru B&K : Kamu rasa malu nak berkawan dengan mereka kerana kamu fikir kamu tidak boleh jadi murid yang pandai seperti mereka juga, kan?
Murid B : Ya, betul tu cikgu!
*****
Peringkat 3 : Mengenal pasti Punca Masalah
Setelah guru B&K dapat mengenal pasti masalah sebenar yang dihadapi oleh murid, guru cuba mengenal pasti punca yang menjadi sebab kepada masalah yang murid hadapi. Kali ini, soalan guru lebih berbentuk terancang dengan mengubah masalah yang dikenal pasti dalam peringkat sebelumnya kepada masalah yang lebih spesifik daripada pelbagai aspek. Kemahiran-kemahiran asas kaunseling dipraktikkan sepanjang sesi kaunseling bagi memancing perhatian murid agar murid dapat menyatakan punca sebenar.
*****
Guru B&K : Adakah situasi di kelas A berlainan daripada kelas kamu sebelum ini?
Murid B : Sebelum ini, saya selalu dapat peluang untuk menjawab soalan. Rakan- rakan saya selalu memuji saya. Tetapi dalam kelas ini semakin sukar. Kadang-kadang saya takut nak bertanya jika tidak faham. Ramai murid yang lebih pandai daripada saya. Saya takut digelakkan mereka nanti.
Guru B&K : Oh. Sebenarnya kamu bukan tidak suka berada di kelas A. Tetapi kamu tidak yakin kamu boleh belajar dengan baik seperti rakan-rakan kamu di kelas A.
Murid B : Betul, cikgu. Saya rasa tidak yakin dengan diri saya.
*****
Peringkat 4 : Mencari Alternatif (Pemilihan Strategi dan Mengambil Tindakan)
Guru B&K telah berjaya mengenal pasti punca sebenar yang menjadi masalah pembelajaran murid B di kelas A. Oleh hal yang demikian, guru membantu murid dengan mengaplikasikan Teori Kaunseling Pemusatan Perorangan. Guru cuba membantu murid supaya dapat membina konsep kendiri positif dalam diri murid. Selain itu, guru cuba membantu murid agar dapat menyingkirkan segala perasaan negatif seperti kurang yakin pada diri, perasaan malu untuk berkawan serta rendah diri.
Hal ini kerana guru yakin bahawa murid mempunyai potensi yang luas memandangkan murid asalnya adalah seorang yang cemerlang. Selain itu, pengalaman murid yang lebih luas daripada segi berkawan dan berada dalam dua kelas yang berbeza dapat memberikan murid lebih kesedaran untuk murid menaikkan semangatnya. Guru menunjukkan peluang-peluang lain yang murid boleh capai berdasarkan potensi yang dimiliki oleh murid di kelas A sekaligus membantu murid menaikkan semangatnya untuk terus meningkatkan diri dan bersaing secara sihat di dalam kelasnya yang baru.
Peringkat 5 : Rumusan (Penamatan)
Pada akhir sesi kaunseling, guru mendapati murid gembira dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Murid menyatakan keazamannya dan menulis matlamatnya di sebuah kertas sebagai alternatif untuknya meningkatkan prestasinya di kelas A. Guru memberikan peneguhan, semangat, dan kata-kata perangsang kepada murid agar murid dapat melaksanakan alternatif yang telah dipilih.
No comments:
Post a Comment