Globalisasi dan perubahan dalam dasar pendidikan Malaysia yang menuju ke arah kemajuan sosioekonomi pula membuktikan guru perlu meningkatkan profesionalisme diri untuk seiring dengan ledakan maklumat terkini. Antara strategi yang membolehkan peningkatan profesionalisme diri termasuk melibatkan diri dalam latihan dalaman , kursus pendek kelolaan IPG, sistem pementoran, amalan refleksi melalui penulisan reflektif/jurnal dan portfolio pengajaran, penyelidikan tindakan, latihan profesionalisme berterusan, perkembangan professional on-line,dan aktiviti Pusat Kegiatan Guru.
Peningkatan Profesionalisme melalui Latihan Dalam Perkhidmatan
Dalam era teknologi moden, perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam mata pelajaran pengkhususan, inovasi dalam pedagogi menuntut agar guru-guru dilatih semula semasa dalam perkhidmatan. Ia sememangnya dapat mempertingkatkan dan memperkukuhkan profesional diri selain mengembangkan potensi insan ke tahap yang diingini. Sebagai guru, kita mampu memperkukuhkan kapasiti untuk memperbaiki pembelajaran pelajar dengan melanjutkan pengetahuan profesional kita dalam menguasai dan mengembangkan kemahiran-kemahiran serta memperjelaskan nilai-nilai professional kita.
Guru yang berpandangan progresif mampu memperkayakan diri dengan pengetahuan, kemahiran dan trenda-trenda pengajaran-pembelajaran baru melalui Kursus Pendek Kelolaan Maktab(KPKM). Berkaitan dengan ini, guru yang telah menghadiri kursus seharusnya menjalankan latihan dalaman untuk sekolah masing-masing agar semua guru dapat memperolehi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu. Sebaran input-input yang baru seperti pembelajaran bestari, pengajaran Matematik dan Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Bimbingan dan Kaunseling dan sebagainya diberi kepada guru akan meningkatkan kualiti pengajaran guru dari segi inovasi dalam pengajaran.
Amalan Refleksi dan Penulisan Reflektif ke arah peningkatan profesionalisme guru
Amalan refleksi dapat memperkayakan diri dan merangsang amalan professional. Ia bertindak sebagai forum untuk membuat keputusan yang mengakibatkan tindakan tentang konteks pengajaran. Refleksi yang dikemukakan oleh Dewey (1993) menjadi batu asas dalam mengkaji proses kognitif guru semasa membuat keputusan tentang pengajaran dan pembelajaran. Perkembangan refleksi memerlukan perkembangan sikap dan kebolehan seperti keterbukaan, kerelaan untuk menerima tanggungjawab untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan.
Refleksi memberi peluang guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan kelemahan diri. Dengan ini, guru dapat membuat pengubahsuaian serta membaiki proses pembelajaran mereka dengan efektif. Antara strategi yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan profesionalisme mereka ialah penulisan jurnal/reflektif. Ia sebagai jentera untuk mereflek secara sistematik dan merangsangkan pemikiran reflektif.
Dalam penulisan reflektif, Schon membezakan proses pemikiran kepada refleksi semasa tindakan di mana seseorang melihat semula dan memikirkan permasalahan yang wujud untuk memahami situasi manakala refleksi ke atas tindakan di mana guru merenung kembali proses pemikirannya dan menganalisis situasi sebelum merancang tindakan susulan. Kedua-dua refleksi semasa tindakan dan refleksi ke atas tindakan dapat membantu guru berkembang diri dalam bidang profesionalnya.
Portfolio Pengajaran trenda mengenai pengajaran dan refleksi
Berkait rapat dengan penulisan reflektif ialah pembentukan portfolio pengajaran sebagai cara guru meningkatkan profesionalisme diri. Portfolio pengajaran yang mengandungi koleksi bahan-bahan seperti penulisan reflektif dapat memperkukuhkan perkembangan diri guru. Ia menggambarkan kemahiran-kemahiran, pengetahuan dan falsafah pengajaran peribadi seseorang itu.
Portfolio pengajaran memberi impak yang besar dan membawa manfaat serta meningkatkan kualiti pengajaran guru dalam profesionnya. Ini kerana proses perkembangan portfolio secara berterusan memberi peluang guru membuat refleksi tentang perkembangan dan perubahan pelajarnya sepanjang masa.
Apabila seseorang guru meneliti amalan pengajaran sendiri, sudah tentu amalan penelitian pengajaran sendiri meletus penilaian kendiri terhadap tanggungjawabnya. Contoh-contoh amalan baik dalam portfolio boleh dikaji dan diguna atau diadaptasikan dalam bilik darjah.
Portfolio membantu guru mendokumentasi dan menerangkan tindakan mereka, membuktikan pengetahuan professional mereka dan membuat refleksi tentang apa, bagaimana dan mengapa mereka melakukan sesuatu tindakan (Loughran & Corrigan, 1994,1995; Seldin, 1997) Dengan mengimbas balik pengalaman-pengalaman lepas dalam portfolio, ia menggalakkan mereka mengenal pasti halangan-halangan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan memikirkan penyelesaian.
Penyelidikan Tindakan amalan profesionalisme yang efektif
Satu lagi strategi guru mampu meningkatkan profesionalisme diri ialah menjalankan penyelidikan tindakan tentang semua aspek yang berkaitan dengan pengajaran. Idea-idea baru tentang kaedah-kaedah mengajar dalam pengajaran perlu diterokai. Budaya penyelidikan, penulisan dan pembacaan wajib dipupuk di kalangan guru untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme diri serta bertindak secara professional.
Peningkatan profesionalisme diri merupakan proses perkembangan peribadi yang memerlukan suatu kesedaran tinggi tentang “ apa yang terjadi”, “mengapa perkara ini berlaku” dan “ bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah ini.”
Kesedaran tentang keputusan pedagogi dan tindakan hanya boleh dibentuk dengan penilaian kritikal melalui dialog reflektif, dokumentasi dan tindakan. Dan di sinilah penyelidikan tindakan menyediakan cara untuk membolehkan proses tersebut berlaku. Untuk meningkatkan profesionalisme diri, guru wajar menjadikan profesion keguruan “ a research-based profesion” iaitu profesion yang berasaskan kajian dan amalan pengajaran perlu berasaskan kajian saintifik dan bukan pendapat.
Amalan konsep “Belajar Seumur Hidup”
Dalam perkembangan diri, guru harus mengamalkan konsep “ belajar seumur hidup”. Amalan membaca, menulis dan melakukan penyelidikan tindakan memperluaskan pengalaman, pengetahuan dan pandangan guru terhadap bidang. Ia menajamkan kecekapan serta keyakinannya dan ia akan menjadi kreatif, reflektif dan berinovasi dalam amalan pengajaran .
Guru mampu memperbaiki diri sebagai pelajar dalam paradigma belajar seumur hidup. Mereka perlu meningkatkan pengetahuan dan ketrampilan khususnya dalam era globalisasi dan teknologi maklumat dan komunikasi(ICT) kini, dan sebagai guru, kita harus mempertajamkan kemahiran mengajar melalui ICT meneroka dan menukar maklumat dengan guru-guru lain yang lebih berpengalaman.Satu langkah yang bijak untuk meningkatkan profesionalisme diri ialah membuat jaringan/ networking dengan guru-guru di negara lain sebagai mencerminkan imej pengantarabangsa.
**Sila rujuk nota-nota seterusnya di sini (link).
No comments:
Post a Comment