Terdapat
tujuh kemahiran bernilai tambah iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan,
kecerdasan pelbagai, konstruktivisme dan kontekstual. Guru perlulah sentiasa menggalakkan
keseluruhan perkembangan diri murid dengan menekankan aspek persediaan
akademik, nilai-nilai moral, pengurusan emosi, kemahiran sosial, pemikiran yang
efektif dan kebolehan menyelesaikan masalah.
1. Kemahiran Berfikir
Kemahiran berfikir hendaklah diserapkan secara
terancang dengan kemahiran mendengar dan
bertutur, membaca, dan menulis. Jenis kemahiran berfikir yang sering disebut dalam Bahasa
Melayu ialah mencirikan, mengkelaskan, mengumpulkan, mengkategorikan, membanding
dan membeza, mengenalpasti sebab dan akibat, meringkas, membuat keputusan dan
menyelesaikan masalah. (Idris Mohd Radzi, 2006:3). Jenis kemahiran berfikir yang dinyatakan di atas
bertujuan membolehkan kemahiran berfikir tersebut dikuasai murid, alat berfikir
seperti penyusunan grafik, soalan serta peta minda perlu digunakan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran.
Di dalam kemahiran
berfikir ini, ia diajar kepada murid melalui soalan dan aktiviti yang
memerlukan pemikiran kritis dan kreatif. Cara ini boleh dilaksanakan dalam
aktiviti mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Tujuan kemahiran ini adalah
memastikan supaya murid-murid dapat memahami isi-isi pelajaran yang diajar di samping
membantu proses perkembangan kognitif mereka. Contohnya, dalam pengajaran
pemahaman, guru boleh meminta anak muridnya supaya membaca dan menjawab soalan
pemahaman yang disediakan. Soalan yang diberikan haruslah bertumpu kepada
soalan yang memerlukan pandangan dan pendapat murid. Selain
itu, penggunaan bahan rangsangan seperti gambar, carta, jadual dan bahan lain
juga perlulah bersifat merangsang kemahiran berfikir murid-murid.
2. Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK)
Penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pengajaran dan pembelajaran mempunyai
nilai yang sangat tinggi. Kini, guru-guru telah diberi tugasan untuk
mengintegrasikan ICT dalam kurikulum di sekolah.
Dengan
perubahan yang dilakukan ini, murid-murid di sekolah dapat menggunakan komputer
untuk tujuan komunikasi. Contohnya, murid dapat mengahantar dan menerima
e-mail. Secara tidak langsung, kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi ini juga mampu merapatkan jurang komunikasi
antara guru dengan murid. Selain
daripada itu, murid-murid dapat belajar menggunakan aplikasi perisian komputer
dalam menyempurnakan tugasan harian. Proses P&P juga akan menjadi lebih
berkesan apabila murid-murid dapat megakses maklumat yang terdapat di dalam
internet. Semua aktiviti ini seharusnya berada di bawah pengawasan guru
sepenuhnya sebelum murid-murid mampu melaksanakannya sendiri.
Belajar
cara belajar dapat dibangunkan dengan amalan pembelajaran yang baik, khususnya
kerana kemahiran ini dapat membina model pengajaran dan pembelajaran yang
memfokus secara luaran dan kritikal terhadap proses dan kandungan pembelajaran.
Dalam erti kata lain, langkah ini dapat membantu murid-murid untuk lebih
mengutamakan pembelajaran. Pemberian peluang yang secukupnya kepada murid-murid
dapat membantu mereka mengenal pasti kekuatan, kelemahan dan perkara yang boleh
dilakukan oleh mereka dalam pelajaran. Dengan refleksi yang kritikal,
murid-murid juga dapat membuat keputusan tentang langkah seterusnya dalam
pembelajaran dan mengenal pasti cara untuk memperbaik pembelajaran mereka.
Walaupun
tidak ada langkah yang spesifik dalam merangsang kemahiran belajar cara
belajar, terdapat beberapa usaha yang boleh dilakukan. Guru seharusnya
menekankan peranan dan hubungan antara guru dengan murid dan murid dengan
murid. Pihak sekolah pula boleh memberi sokongan yang secukupnya kepada
guru-guru dan juga murid-murid dalam menerapkan kemahiran ini. Dengan kata
lain, pembelajaran menjadi lebih efektif apabila murid-murid mendalami
pembelajaran mereka, hasil penghayatan guru terhadap pengajaran.
4. Kemahiran Kajian Masa Depan
Kemahiran
ini mengamalkan pembelajaran seumur hidup. Selain itu,kemahiran ini juga
merupakan satu pendekatan pembelajaran bagi membolehkan murid –murid menyedari
sesuatu isu atau permasalahan yang berlaku pada masa lampau, masa kini dan masa
hadapan. Contohnya,dalam sesi pengajaran dan pembelajaran subjek
sejarah,kemahiran kajian masa hadapan ini dapat dipraktikkan di sekolah.
Tambahan lagi, murid-murid turut dapat membuat ramalan, menjangka akibat
serta mengendalikan perubahan melalui kemahiran ini. Secara tidak langsung,
manfaat yang maksimum akan diperoleh murid dalam mengendalikan setiap perubahan
yang berlaku ke atas diri mereka. Contohnya, dalam mata pelajaran agama dan
sains. murid-murid akan mengetahui bagaimana proses kewujudan mereka di atas
muka bumi ini serta proses perkembangan dan pertumbuhan yang akan mereka alami
apabila meningkat dewasa.
Gardner (1998) mendefinisikan kecerdasan pelbagai sebagai
kebolehan menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan sebenar, kebolehan
menjana masalah baru untuk diselesaikan dan kebolehan membuat sesuatu atau
menawarkan perkhidmatan yang bernilai dalam lingkungan sesuatu budaya.
Kecerdasan pelbagai boleh dibahagikan kepada lapan jenis
iaitu, yang pertama verbal –linguistik.
Kecerdasan ini menunjukkan kebolehan menggunakan kata-kata secara berkesan
dalam aktiviti lisan dan penulisan. Kebolehan mengingat maklumat, menyakinkan
orang lain serta bercakap tentang bahasa itu sendiri merupakan antara
kategori kecerdasan verbal linguistik.
Kedua, kecerdasan logik-matematik, iaitu kebolehan
menggunakan nombor secara berkesan dan bijak berhujah. Kategori ini termasuklah
memahami kelompok nombor asas, prinsip sebab dan akibat serta kebolehan
menjangka.
Ketiga, kecerdasan visual ruang, iaitu kebolehan mengesan
dan menggambarkan bentuk, ruang, warna dan garisan, termasuklah kebolehan
mempersembahkan idea visual dan ruang secara grafik.
Keempat ialah kecerdasan kinestatik, iaitu kebolehan
menggunakan badab untuk menyatakan idea , perasaan dan menyelesaikan masalah.
Kelima, kecerdasan muzik, iaitu kebolehan mengesan irama dan lagu,
mengenal lagu yang mudah serta membezakan atau mengubah rentak dan tempo dalam
melodi yang mudah.
Keenam, kecerdasan interpersonal, iaitu kebolehan
memahami perasaan , motivasi , tabiat
serta hasrat orang lain. Ketujuh ialah kecerdasan intrapersonal, iaitu
kebolehan memahami diri sendiri daripada segi kekuatan , kelemahan, hasrat dan
kehendak. Kecerdasan ini dapat membantu individu menangani perasaan , beradap
sopan serta mengawal kemarahan atau kesedihan diri.
Kelapan, kecerdasan naturalis, iaitu kebolehan mengenali
dan mengaplikasi tumbuh-tumbuhan , galian
dan binatang termasuk rumput dan batu-batan serta pelbagai flora dan
fauna. Ia juga merupakan kebolehan untuk mengenali artifak budaya daripada segi
pakaian.
6. Pembelajaran Konstruktivisme
Pembelajaran
konstruktivisme merupakan satu teknik pembelajaran yang melibatkan pelajar
untuk membina pengetahuan dengan menggunakan pengetahuan yang sedia ada dalam
dirinya dimana pelajar akan mengaitkan pembelajaran baru dengan pembelajaran
lama yang sedia ada.
Perspektif
konstruktivisme menitikberatkan pengalaman pendidikan yang boleh membantu
pelajar membina ilmu pengetahuan dan bukannya penyiaran pengetahuan dan
seterusnya pensyarah akan memainkan peranan mereka sebagai pembimbing atau
fasilitator dalam memperkembangkan pengetahuan sedia ada pelajar di dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Pembelajaran
konstruktivisme dalam pendidikan dapat melahirkan murid yang boleh membina
pemahaman dan pengetahuan baru mereka sendiri berdasarkan pengetahuan dan pengalaman
sedia ada.
7. Pembelajaran Kontekstual
Menurut teori pembelajaran
kontekstual, pembelajaran hanya berlaku apabila pelajar memproses maklumat atau
ilmu pengetahuan baru dengan cara tertentu sehingga ia membawa maksud atau
makna kepada mereka dalam kerangka rujukan mereka sendiri (dunia dalaman bagi
memori, pengalaman dan tindak balas mereka sendiri).
Pendekatan pembelajaran dan pengajaran
seperti ini mengandaikan minda akan mencari maksud dalam konteks dengan cara
semula jadi, iaitu berkait dengan persekitaran semasa seseorang itu. Ini
berlaku dengan cara pencarian hubungan yang diterima akal dan kelihatan
bermakna. Kaedah kontekstual iaitu kaedah yang
dibentuk berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, seharusnya mampu membawa
pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan atau releven
bagi mereka, dan juga memberi makna dalam kehidupan seharian mereka.
Pembelajaran kontekstual juga ialah
kaedah pembelajaran yang mengaitkan isi pelajaran dengan pengalaman harian
individu,masyarakat, dan alam pekerjaan. Pembelajaran kontekstual disampaikan
dalam persekitaran yang pelbagai, secara konkrit yang melibatkan latih amal dan
berfikir. Pembelajaran berlaku apabila murid berupaya menghubungkaitkan pengetahuan
baru secara bermakna, dan menghayati kerelevanan pembelajaran dengan kehidupan
mereka.
3 comments:
Terima kasih di atas perkongsian yang baik ini.
terbaik
like
Post a Comment