Tabung Masa Depan

Wednesday, May 29, 2013

Nota BMM 3101 - Konsep 5P dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu



Strategi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu menekankan konsep 5P iaitu penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan penilaian. Ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Konsep 5P merupakan asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam KBSR. Melalui proses 5P, pelajar dapat menyesuaikan maklumat dalam rangsangan serta menghasilkan satu pelajaran yang bersepadu dan menyeluruh sekali gus akan mengelakkan pelajar daripada berasa bosan sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dijalankan.


1. Penggabungjalinan

Terdapat dalam situasi bahasa apabila seseorang perlu memainkan dua peranan dalam situasi yang sama. Contohnya, seseorang perlu mendengar dan bercakap apabila mengadakan perbincangan, wawancara dan temuduga. Secara tidak langsung, konsep penggabungjalinan telah digunakan.

Menurut Abdul Aziz Abd Talib (2000: 262), penggabungjalinan dalam bahasa bermakna guru menggabungjalinkan sesuatu kemahiran bahasa itu dengan satu lagi kemahiran bahasa. Kamus Dewan (2002:358), penggabungjalinan bermaksud perbuatan menggabungjalinkan iaitu mencantumkan dan menjalinkan.

Penggabungjalinan dalam pengajaran guru adalah bertujuan untuk mengelakkan guru daripada mengajar sesuatu kemahiran bahasa dengan memecahkan atau mengasingkan bahagian-bahagian yang berkait rapat. Konsep ini bertujuan memperkukuh satu aspek kemahiran bahasa dengan yang lain dan menjadikan pengajaran lebih berkesan. Melalui proses penggabungjalinan juga, beberapa kemahiran dapat dikuasai serentak, hal ini mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih bermakna dan menarik serta menjadikan murid-murid tidak cepat bosan dan jemu.


2. Penyerapan

Penyerapan adalah starategi yang boleh dilaksanakan dalam pengajaran lisan. Ia merupakan strategi penyatuan isi pengetahuan dari satu mata pelajaran dengan bidang kemahiran dalam mata pelajaran yang lain. Penyerapan boleh dilakukan di dalam mana-mana kemahiran bahasa. Di samping itu, beberapa unsur daripada mata pelajaran lain seperti Pendidikan Seni, Pendidikan Moral , pendidikan Agama, Matematik , Pendidikan Jasmani , Muzik boleh diserap dalam mana-mana pelajaran bahasa.

Dalam pengajaran Bahasa, guru boleh menggunakan bahan-bahan pengetahuan daripada mata pelajaran lain umpamanya geografi, sejarah, agama, perdagangan dan lain-lain sebagai bahan utama. Dalam sesuatu pelajaran bahasa pada tahap satu, penggabungjalinan dan penyerapan berlaku serentak. Contohnya, guru mengajar isi daripada Alam dan Manusia dan menggabungjalinkan kemahiran bahasa , pendidikan seni dan muzik. (Kamarudin Hj. Husin, 2000:214)

Dalam pengajaran Bahasa Melayu , unsur ilmu, nilai dan kemahiran bernilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan boleh diserapkan. Penyerapan ini mengandungi pelbagai ilmu dan disiplin dalam pelbagai mata pelajaran. 



3. Pengayaan


Program pengayaan perlu diberikan penekanan dalam Kurikulum Sekolah Rendah kerana keadaan murid yang berbeza dari segi kebolehan, keupayaan, bakat, dan minat. Murid hendaklah diberikan bahan yang berbeza untuk digunakan secara bersendirian atau dengan bimbingan guru. Bahan seperti bahan bacaan tambahan, kad, permainan dan bahan aktiviti boleh diberikan kepada murid yang telah menguasai kemahiran dalam jangka masa yang ditetapkan atau lebih awal daripada jangka masa yang ditentukan.

Proses Pengayaan merupakan aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti-aktiviti asas pembelajaran dan boleh diadakan samada di dalam mahupun di luar kelas. Aktiviti Pengayaan lazimnya akan diberikan kepada pelajar yang berjaya menguasai proses P&P dalam sesebuah topik pelajaran. Aktiviti dijalankan bagi memberi pengukuhan yang lebih agar pelajar bertambah faham dan lebih menguasai proses pembelajaran mereka. Di samping itu, proses ini mengandungi unsur-unsur untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman pelajar untuk lebih memahami apa yang telah mereka pelajari sebelumnya.

Aktiviti pengayaan adalah sangat berlainan dengan aktiviti-aktiviti pembelajaran asas. Ini kerana, aktiviti pengayaan ini akan dijalankan selepas murid-murid berjaya menguasai satu ataupun beberapa kemahiran asas tertentu. Melalui aktiviti pengayaan ini, murid-murid akan menggunakan asas kemahiran yang telah mereka kuasai untuk menjalankan aktiviti ini. Oleh itu, murid-murid akan dapat memperluas pengalaman dan pengetahuan mereka sejajar dengan kebolehan dan minat mereka dalam sesuatu bidang pelajaran tertentu.


4. Pemulihan


Pendidikan pemulihan adalah merupakan langkah-langkah khas untuk membantu murid menghadapi masalah pembelajaran di sekolah. Kegiatan pemulihan ini biasanya dilakukan dalam tempoh jangka masa yang pendek dan ditujukan khusus kepada usaha mengatasi kelemahan mereka. (Kamarudin Haji Husin, 1998 : 339)

            Kanak-kanak yang mendapat pendidikan ini bukanlah kanak-kanak yang mempunyai kecacatan akal atau terencat akal , tetapi mereka sering memperlihatkan pencapaian yang tidak memuaskan dalam pelajaran berbanding rakan sebaya yang lain. Kanak-kanak ini walaupun sudah berada pada tahap dua, mereka masih tidak pandai membaca. Hal ini akan menyebabkan mereka ketinggalan atau gagal menghadapi kerja-kerja normal sekolah mereka.

Program pemulihan disediakan untuk membantu murid menguasai kemahiran asas yang belum dapat dikuasai dalam tempoh yang ditetapkan. Bahan untuk program ini terdiri daripada kad, carta, bahan maujud, alat permainan, dan lain-lain yang boleh digunakan secara berperingkat-peringkat daripada yang mudah kepada yang sukar. Pelaksanaan program ini adalah mengikut kadar kemampuan murid menguasai sesuatu kemahiran. Objektif proses pemulihan ini adalah untuk membolehkan murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dengan mengikut aktiviti-aktivit alternatif yang bersesuaian dengan kemahiran dan kebolehan mereka.


5. Penilaian

Penilaian merupakan satu proses atau aktiviti yang bersistematik bagi memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi. Penilaian dianggap sebagai sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran. Penilaian merupakan sesuatu aktiviti untuk mendapatkan maklumat yang berguna bagi menentukan pencapaian sesuatu objektif pengajaran atau pembelajaran. (Kamarudin Haji Husin, 1998: 327).

 Oleh itu, penilaian perlulah dijalankan berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hanya melalui proses penilaian berterusan dapat dipastikan jenis tindakan susulan yang perlu diambil ke atas seseorang murid, sama ada untuk menjalankan pemulihan atau pengayaan, dan setelah itu barulah dapat dipastikan jenis aktiviti pemulihan atau aktiviti pengayaan yang sesuai bagi murid.

Penilaian dalam kelas biasanya mengutamakan penilaian formatif iaitu mengesan perkembangan pembelajaran dengan serta-merta untuk mengenal kekuatan dan kelemahan murid-murid. Penilaian sumatif dilakukan pada peringkat kritikal untuk mengetahui secara menyeluruh penguasaan dan taraf pencapaian pembelajaran murid-murid. (Kamarudin Haji Husin, 1998: 327).



katakan like jika best ya!

9 comments:

wanJZ said...

tq atiqah aiza..info yg awak bagi sedikit sebanyak mmbantu saya dlm menyiapkan tugasan ;-)

Anonymous said...

thanks....may we will be friend?

Anonymous said...

terima kasih cik atiqah kerana perkongsian ilmu yang amat berguna ini.

Anonymous said...

terima kasih atas perkongsian ini.

Ieqa Swetluv said...

to @wanJZ~

sama2 semoga dpt membantu =)

Anonymous said...

Perkongsian ini amat berguna untuk saya menyiapkan tugasan. Terima kasihh.

Unknown said...

terima kasih cik atiqah....

Anonymous said...

mohon copy

Aminah Ag Alak said...

Tahniah atas penulisan ini. Minta izin untuk dijadikan rujukan penulisan saya.