Tabung Masa Depan

Wednesday, May 29, 2013

Nota BMM 3104 : Kaedah Pengajaran Kemahiran Bahasa



Kaedah adalah satu rencana atau satu siri tindakan guru yang sistematik dan menyeluruh untuk mengajar sesuatu bahan bahasa, yang secara keseluruhannya mestilah didasarkan kepada pendekatan yang dianuti untuk mencapai objektif pengajaran yang telah ditetapkan. Sesuatu kaedah tidak boleh bercanggah dengan pendekatan yang telah dirancang. Kaedah bercorak jangka masa pendek dan merupakan usaha keseluruhan yang terdiri daripada prosedur tersusun dan berdasarkan pendekatan yang dipilih.


Kaedah bersifat prosedur yang terdiri daripada langkah-langkah dan peringkat-peringkat yang teratur yang harus dituruti dengan saksama untuk mencapai tujuan tertentu (Mangantar Simanjuntak,1982: 72). Menurut  Abd. Aziz Abd Talib (2000), kaedah ialah cara yang digunakan dalam sesuatu proses pengajaran. Sesuatu kaedah pengajaran itu dirancang untuk mencapai objektif pengajaran yang berkaitan dengan sesuatu kemahiran bahasa. Terdapat beberapa kaedah pengajaran iaitu kaedah tatabahasa terjemahan, kaedah terus,kaedah semula jadi, kaedah tentera,kaedah linguistik, kaedah oral-aural,kaedah elektik,kaedah kod-kognitif,kaedah fonetik,kaedah khusus,kaedah tubi, kaedah induktif, kaedah deduktik,kaedah gabung jalin, kaedah natural dan kaedah bahasa komuniti. Berikut adalah beberapa kaedah yang digunakan dalam pengajaran kemahiran bahasa.



1. Kaedah Tatabahasa Terjemahan

Kaedah ini bertujuan untuh member kemahiran menulis dan bukan kemahiran bertutur. Oleh itu kemahiran fonetik tidak ditekankan. Kaedah ini juga melatih murid memahami tatabahasa dan menulis menggunakan bahasa yang betul serta membolehkan murid menterjemah bahasa asing ke dalam bahasa jati. Contohnya, murid dapat menterjemah perkataan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu.  

Kaedah ini membolehkan mereka menikmati bahan bacaan daripada pelbagai bahasa asing. Antara cara mengajar ialah murid diperkenalkan dengan undang-undang tatabahasa, diberikan contoh, undang-undang perlu dihafaz. Manakala dalam pengajaran bahasa kedua, perbendaharaan kata dipadankan dengan makna.
Cara mengajar kaedah ini adalah murid akan diperkenalkan dan diterangkan dengan undang-undang tatabahasa berserta contoh oleh guru dimana mereka perlu menghafaz. Dengan perbendaharaan kata tersebut, murid akan membina ayat-ayat berdasarkan undang-undang bahasa yang telah dipelajari.


2.Kaedah Terus

Kaedah ini membolehkan kanak-kanak menguasai keempat-empat kemahiran bahasa secara berkesan iaitu kemahiran mendengar, bertutur, menulis dan membaca.Sesuai untuk pengajaran bahasa kedua. Contohnya, dalam pengajaran bahasa Inggeris. Kaedah ini menekankan empat asas iaitu perhubungan secara langsung antara  perkataan dengan benda,pengajaran dikaitkan dengan pengalaman sedia ada, menimbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan dan pengajaran berpandu kepada cara kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda mereka iaitu mengutamakan bahasa lisan.

Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat asas tertentu:

1) Perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya.
2) Pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman yang telah sedia ada
3) Harus timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancang.
4) Pengajaran harus berpandu kepada lunas-lunas kanak-kanak mempelajari bahasa ibunda.


3. Kaedah Audiolingual

Kaedah ini juga dikenali sebagai kaedah dengar-tutur. Teori pembelajaran kaedah ini diasaskan kepada psikologi behaviour yang menganggap manusia sebagai organisme yang berkebolehan dalam bertingkah laku. Hal ini bergantung kepada tiga elemen penting dalam pembelajaran, iaitu stimulus(rangsangan) yang menggerakkan tingkah laku, respon(tindak balas) yang digerakkan oleh rangsangan, dan peneguhan yang menandakan ketepatan bertingkah laku dan menggalakkan pengulangan.

Guru akan memberi model bahasa sasaran, mengawal arahan, memonitor dan membetulkan perlakuan pelajar. Pembelajaran diasaskan sepenuhnya kepada interaksi guru dengan pelajar melalui chorus(beramai-ramai) atau berkumpulan. Antara bahan yang dapat membantu guru untuk menjayakan kaedah ini adalah pita rakaman, dan kelengkapan audiovisual sebagai pusat pembelajaran serta menyediakan latihan dan latih tubi secara berterusan kepada murid.


4. Kaedah Natural

Kaedah ini berasaskan penggunaan bahasa dalam komunikatif, melihat bahasa sebagai satu alat untuk menghubungkan makna dengan mesej. Penguasaan hanya akan berlaku apabila orang memahami sesuatu mesej dalam bahasa sasaran. Kaedah ini melibatkan dua cara yang ketara untuk memperkembangkan keupayaan berbahasa iaitu penguasaan dan pembelajaran. Matlamat kaedah ini adalah murid-murid dapat mencapai sasaran yang dirancang oleh guru dengan berkesan dengan hanya menguasai kemahiran berbahasa (membaca, menulis, mendengar dan bertutur ) untuk memberi arahan dan melaksanakan arahan tersebut.


5. Kaedah Situasional

Pendekatan lisan disebut sebagai kata nama lain Pengajaran Bahasa Situasional(SLT). Antara aspek utama kaedah ini ialah mengambil kira perbendaharaan kata secara serius iaitu menganggap kawalan perbendaharaan kata sebagai satu aspek yang paling penting serta kawalan tatabahasa. 

Terdapat beberapa perkara yang telah digariskan dalam menggunakan kaedah ini iaitu:
1) Pengajaran bahsa dimulakan dengan bahasa pertuturan, diajar dalam bahasa lisan dan dipersembahkan dalam bentuk tulisan.
2) Bahasa sasaran adalah bahasa bilik darjah.
3) Aspek-aspek bahasa yang baru diperkenalkan dan dilatih mengikut situasi.
4) Prosedur pemilihan kata diikuti supaya dapat memastikan perbendaharan kata am berfungsi dan biasa digunakan.
5) Item-item tatabahasa dipertingkatkan mengikut prinsip-prinsip penggredan, iaitu bermula kepada yang lebih mudah kepada sukar.
6) Bacaan dan penulisan diperkenalkan sebaik-baik sahaja asas leksikal dan tatabahasa telah dapat dikuasai sepenuhnya.



katakan like jika best ya!

No comments: