Kemahiran bahasa terdiri daripada beberapa jenis kemahiran lain iaitu kemahiran lisan, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Ketiga-tiga kemahiran ini adalah sangat penting di dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran(P&P) Bahasa Melayu sekolah rendah di mana ia merupakan tempat terawal bagi kanak-kanak untuk menguasai kemahiran-kemahiran ini.
1. Kemahiran Lisan
Kemahiran lisan melibatkan dua komponen lain yang sama penting iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Kemahiran mendengar ialah kemahiran yang melibatkan aktiviti penerimaan mesej atau maklumat dan kemahiran bertutur pula merupakan kemahiran yang melibatkan aktiviti penghasilan maklumat. Kesimpulannya, jika seseorang itu boleh memahami dan memproses maklumat yang didengari serta boleh pula bertutur dengan lancar, pastinya dia dapat mengembangkan daya pemikiran dan pengertiannya terhadap sesuatu perkara atau situasi yang dialaminya ketika itu.
-Kemahiran Mendengar
Terdapat dua jenis kemahiran mendengar iaitu, mendengar pasif dan mendengar aktif. Mendengar pasif ialah sejenis komunikasi sehala. Murid mendengar sesuatu maklumat yang disampaikan tanpa memberi tindak balas secara lisan disebabkan tidak memahami makna keseluruhan ujaran yang diterima. Manakala mendengar aktif pula melibatkan komunikasi dua hala. Maksudnya, pelajar memberi tindak balas secara lisan terhadap sesuatu maklumat yang diterima atau didengar.
- Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar berbicara untuk menjalinkan hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara spontan. Terdapat dua jenis kemahiran bertutur iaitu pertuturan jenis sehala dan pertuturan jenis dua hala. Pertuturan jenis sehala melibatkan penyampaian mesej yang tidak menerima sebarang maklum balas secara spontan dimana hanya penutur sahaja yang akan menyampaikan mesej kepada pendengar. Pertuturan jenis dua hala pula melibatkan kedua-dua pihak iaitu, penutur dan pendengar dimana satu pihak menyampaikan maklmat dan satu pihak lagi menerima dan memberi respons kepada pihak penyampai.
2. Kemahiran Membaca
Kebanyakan pengertian yang telah diberi, menyatakan bacaan menekankan aspek-aspek yang khusus seperti kognitif atau pengamatan dan peringkat-peringkat bacaan iaitu mod yang berupa bacaan secara nyaring atau secara senyap. Membaca memerlukan proses pengalihan maksud dari minda ke minda iaitu pengalihan mesej dari penulis kepada pembaca. Bacaan terbahagi kepada dua jenis iaitu bacaan mekanis atau bersuara dan bacaan mentalis atau senyap.
- Bacaan Mekanis
Daripada keterangan bacaan mekanis di atas dapat kita simpulkan bahawa membaca mekanis itu adalah satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang. Jadi, berdasarkan penerangan di atas kita sudah faham bahawa sebab-sebab pelajar tidak dapat membaca dengan lancar, tersekat-sekat dan berhenti pada tempat yang salah yang akhirnya menjejaskan wacana sesuatu teks yang dibaca itu adalah kerana mereka tidak cekap menanggap dan memberi makna kepada kata-kata yang dibacanya.
- Bacaan Mentalis
Membaca mentalis atau membaca senyap adalah gaya membaca dalam hati yang merupakan kegiatan membaca yang melibatkan pengaktifan mata dan ingatan (visual memory). Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran kemahiran membaca pula, iaitu yang bertujuan untuk menggalakkan pelajar mencari, memilih, dan maju sendiri, program membaca senyap secara perseorangan ini adalah satu strategi yang amat menarik.
3. Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis adalah kemahiran dimana murid dapat melahirkan simbol-simbol huruf, perkataan, dan ayat dengan menulis menggunakan cara dan teknik yang betul. Terdapat dua jenis kemahiran menulis.
Kemahiran menulis mekanis bertujuan supaya pelajar-pelajar menguasai kemahiran huruf-huruf kecil dan besar dalam abjad dengan betul dan seterusnya menguasai kemahiran menulis huruf, suku kata, perkataan dan ayat. Kemahiran ini harus dikuasai pada peringkat awal supaya murid-murid dapat menghasilkan tulisan yang kemas dan mudah dibaca. Manakala kemahiran menulis mentalis melibatkan proses mental dan lazimnya dikuasai setelah murid-murid menguasai kemahiran menulis secara mekanis. Oleh yang demikian, aktiviti-aktiviti latihan mental boleh dijalankan untuk membantu pelajar-pelajar menguasai kemahiran ini.
2 comments:
slm,,kak,,nk copy blh??:)
tq
Post a Comment