Tabung Masa Depan

Thursday, June 6, 2013

Riwayat Hidup Imam Al-Ghazali dan sumbangannya.



Nama sebenar beliau ialah Abu Hamid bin Muhammad At-Tusi al-Ghazali. Beliau dilahirkan di Tusia, sebuah kota yang terletak di Khurasan pada tahun 450 Hijrah bersamaan 1058 Masihi. Gelaran "Al-Ghazali" diambil bersempena dengan gelaran bapanya yang bekerja sebagai pemintal bulu kambing (al-Ghazzal). Ada yang mengatakan mengambil sempena kampung kelahirannya, Ghazalah. Bapanya bekerja sebagai penenun pakaian daripada bulu dan menjualnya di Pasar Tusia dan merupakan seorang yang warak. Biarpun bapanya hanya seorang yang miskin dan bekerja sebagai penenun kain bulu, namun beliau amat mencintai ilmu pengetahuan. Bapanya selalu mengunjungi rumah para ulama’ untuk mendalami ilmu pengetahuan. Beliau selalu berdoa agar dikurniakan seorang anak yang soleh dan alim. Bapanya sempat berwasiat kepada salah seorang sahabat setianya yang merupakan seorang ahli tasawuf yang terkenal agar mendidik dan mengasuh Imam Al-Ghazali dan saudaranya, Ahmad. Pesan bapanya, “Sungguh saya menyesal tidak belajar khat (tulis menulis Arab) dan saya ingin memperbaiki apa yang telah saya alami pada kedua anak saya ini. Maka saya mohon engkau mengajarinya, dan harta yang saya tinggalkan boleh dihabiskan untuk keduanya.”




Imam Al-Ghazali telah diasuh dan dididik sepenuhnya dengan tasawuf oleh teman bapanya bersama saudaranya Ahmad. Doa bapanya dimakbulkan Allah dengan kelahiran Imam Al-Ghazali. Keagungannya dalam bidang ilmu falsafah Islam sukar ditandingi sehingga digelar Hujjatul Islam. Ilmu yang pertama yang telah beliau pelajari ketika masih kecil ialah Ilmu Fiqh daripada Sheikh Ahmad bin Muhammad Ar-Razikani. Selepas itu beliau terus mengembara ke Jurjan dan berguru dengan Imam Abu Nasar Al-Ismaili.


Pengembaraannya diteruskan lagi untuk mendalami ilmu pengetahuan ke Nisapur. Di situ beliau berguru dengan Imam Haramain.  Ketokohannya sebagai seorang ulama besar mulai terserlah di situ apabila beliau dapat menguasai pelbagai ilmu pengetahuan merangkumi ilmu mantik, falsafah, dan fiqah mazhab Imam Syafie. Keluasan ilmunya ketika itu dikagumi oleh gurunya sendiri iaitu Imam al-Harmain. Beliau pernah menyanjung ketokohan Imam Al-Ghazali dengan katanya:

“ Al-Ghazali itu merupakan lautan yang tidak bertepi .”



Selepas Imam Al-Harmain kembali ke rahmatullah, beliau berhijrah pula ke Al-Askar dan mendapat penghormatan daripada seorang menteri Nizamul Muluk, dari Dinasti Saljuk.  Dalam usia yang masih muda iatu pada tahun 484 Hijrah, beliau telah dilantik menjadi profesor  di Akademi Nizami (universiti) di Baghdad dalam bidang Fiqh. Semua ulama di Baghdad ketika itu mengakui keluasan ilmu Imam Al-Ghazali. Para mahasiswa datang dari seluruh ceruk dunia Islam untuk berguru dengannya. Walaupun mengajar dalam bidang Fiqh, beliau juga amat meminati bidang falsafah.


Beliau menunaikan ibadat haji pada tahun 488 Hijrah. Selepas itu beliau meneruskan perjalanannya ke Syam (Syria) menziarahi Baitulmaqdis. Selepasitu beliau bermastautin di Damsyik dengan beribadat di Masjid Al-Umawi. Beliau membuka sebuah sudut (halqah) ilmu di masjid tersebut yang dikenali sehingga kini dengan nama Al-Ghazaliah. Sepanjang masa beliau di sana, beliau telah berjaya menyempurnakan penulisan kitabnya Ihya ‘Ulumuddin yang agung itu. Kitab ini bertanggungjawab memperkukuhkan mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah yang paling berpengaruh di seluruh Dunia Islam sehingga kini. Beliau menjalani hidup dengan penuh kesederhanaan. Dengan hanya berpakaian kain kasar, mengurangkan makanan dan minuman, namun beliau sentiasa mengunjungi masjid dan menempuhi jalan sufi untuk mentakarrubkan diri kepada Allah S.W.T.


Sekembalinya beliau ke Baghdad, beliau mengadakan majlis ilmu iaitu pengajaran kitab Ihya’ Ulumuddinnya. Selepas itu, beliau berhijrah ke Nasapur dan dilantik menjadi profesor di Universiti Nizamiah. Kemudian, beliau berhijrah ke kampung asalnya semula. Di situ, beliau telah mendirikan sebuah institut  pendidikannya sendiri yang dikerumuni oleh para ulama dan ahli sufi untuk berguru dengannya.


Kehidupan sehariannya dibahagikan kepada waktu untuk membaca Al-Quran, mengadakan pertemuan dengan para ulama dan golongan sufi, mengajar ilmu kepada pelajarnya dan mendirikan solat. Itulah jadual harian beliau yang diamalkan sehingga akhir hayatnya pada 14 Jamadil Akhir tahun 505 Hijrah bersamaan 1111 Masihi di Tusia. Di penghujung hayatnya, beliau menghabiskan masanya dengan mempelajari kembali hadis dan berkumpul bersama ahlinya. Berkata Imam Adz Dzahabi, “Pada akhir kehidupannya, beliau tekun menuntut ilmu hadis dan berkumpul dengan ahlinya serta menelaah shahihain (Shahih Bukhari dan Muslim). Seandainya beliau berumur panjang, nescaya dapat menguasai semuanya dalam waktu singkat. Beliau belum sempat meriwayatkan hadis dan tidak memiliki keturunan kecuali beberapa orang putri.”



Kegigihan beliau dalam mempelajari ilmu falsafah akhirnya menjadikan beliau seorang Ahli Falsafah Islam yang dikagumi kerana kejayaanya menggabungkan falsafah dan tasawuf dengan akidah, syarak, dan akhlak. Hal ini juga  berjaya mendamaikan antara golongan sufi dengan ulama fiqh sehingga kini.


SUMBANGAN


Imam Al-Ghazali lebih dikenali sebagai ulama’ tasawuf dan akidah. Oleh sebab itu, sumbangannya terhadap bidang falsafah dan ilmu pengetahuan lain tidak boleh dinafikan. Al-Ghazali merupakan seorang ahli sufi yang bergelar "Hujjatul Islam". Kejayaan seseorang tokoh pemikir Islam seperti Imam Al- Ghazali menghasilkan karya ilmiah bagi menjelaskan kepada umum tentang kaedah dan metodologi kajian ilmiah yang bukan sahaja tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip ajaran tauhid, tetapi juga boleh dimanfaatkan dengan cara yang sebaiknya dalam perbahasan ilmu-ilmu Islam tentu sekali membayangkan ketokohannya yang unggul dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan yang diceburinya.





Imam Al-Ghazali adalah seorang tokoh yang telah terlibat secara langsung dengan disiplin-disiplin ilmu berkaitan dengan Pemikiran Islam seperti Falsafah, termasuk Logik, Ilm al-Kalam, Usul al-Fiqh dan al-Tasawwuf Keupayaan beliau menguasai pelbagai disiplin ilmu Islam membuktikan bahawa beliau merupakan seorang tokoh berpemikiran mantap dan dalam konteks disiplin Logik, beliau diyakini telah berjaya menguasainya dengan baik. Banyak karya ilmiah yang telah dihasilkan oleh Al-Ghazali dalam bidang Logik dan karya- karya tersebut menjadi bahan rujukan asas bagi pengajian Logik yang berlangsung sama ada dalam sistem pendidikan formal atau sebaliknya.


Imam Al-Ghazali banyak menulis buku-buku dan kitab-kitab ilmiah. Dianggarkan beliau telah menulis lebih 300 buah buku mencakupi pelbagai bidang ilmu pengetahuan sepeti mantik, akhlak, tafsir, ulumul Quran, falsafah, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, sebahagian besar hasil tulisannya telah hangus dibakar oleh tentera Moghul yang menyerang kota Baghdad.


Antara kitab yang musnah termasuk: 40 Jilid Tafsir, Sirrul Alamain (Rahsia Dua Dunia), dan Al-Madhnuuna bihi ala Qhairiha (Ilmu Yang Harus Disembunyikan Dari Orang-orang Yang Bukan Ahlinya). Cuma 84 buah buku tulisan beliau yang berjaya diselamatkan seperti Al Munqiz Mm Al Dhalal (Penyelamat Kesesatan), Tahafut Al Falsafah (Penghancuran Falsafah), Mizanul Amal (Timbangan Amal), Ihya Ulumuddin (Penghidupan Pengetahuan), Mahkun Nazar (Mengenai Ilmu Logik), Miyarul Ilmu, dan Maqsadil Falsafah (Tujuan Falsafah). Beliau adalah seorang merupakan ahli fikir Islam yang telah meninggalkan jasa yang dapat di nilai melalui hasil-hasil karyanya. Beberapa hasil karya Imam Al-Ghazali telah diterjemahkan ke dalam berbagai-bagai bahasa Eropah untuk dijadikan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat-pusat pengajian tinggi. Segala hasil penulisan beliau telah mempengaruhi ahli fikir Islam selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Syeikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan Syah Waliyullah. Kebanyakan hasil karya Imam Al-Ghazali berbentuk falsafah. Oleh hal yang demikian, pengkaji-pengkaji Barat menganggap Imam Al-Ghazali adalah seorang ahli falsafah.


Selain itu, Imam Al-Ghazali juga merupakan tokoh utama yang banyak memperkatakan tentang kebahagiaan sebahagian hidup manusia. Kebahagiaan ialah tujuan hidup dan masalah pokok dalam semua agama dan dalam kebanyakan sistem akhlak. Beliau berpendapat bahawa, untuk mendapat kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat, seseorang itu hendaklah mempunyai ilmu dan diamalkan dengan baik dan ikhlas hanya kerana Allah S.W.T. Kesempurnaan bahagia itu bergantung kepada tiga kekuatan iaitu kekuatan marah, kekuatan syahwat dan kekuatan ilmu. Menurut beliau juga kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi nafsu dan menahan kehendaknya yang berlebih-lebihan. Maka kemenangan di dalam peperangan dengan nafsu ini ialah induk dari segala kemenangan, kerana orang yang berperang ke medan perang itu sendiri, ada juga yang mencari nama dan kemegahan.


Selain itu juga, Imam al-Ghazali juga pernah menjadi penasihat agung kepada Perdana Menteri Nizam Al-Mulk, yang merupakan tokoh dan ilmuwan Islam Parsi yang hebat dalam pemerintahan Kesultanan Saljuk. Beliau juga pernah menjadi tenaga pengajar kanan di universiti Nizamiah di Baghdad dan Naisabur. Beliau juga turut menyokong fahaman Al-Isyairah atau dikenal sebagai mazhab Ahli Sunnah wal Jamaaah. Selain itu juga, antara sumbangan beliau terhadap pemahaman manusia terhadap Islam ialah menolak fahaman ahli falsafah yang meresap dalam ilmu kalam dan telah menjadi pelopor kepada golongan sufi.


Sememangnya Imam al-Ghazali adalah tokoh seluruh ilmu kerana telah menguasai hampir seluruh ilmu besar. Ilmu-ilmu yang telah  dinyatakan oleh al-Ghazali di dalam buku-bukunya sememangnya amat berguna dan relevan untuk digunakan sehingga masa sekarang. Perjuangan beliau dalam mengumpulkan ilmu-ilmu berkenaan juga perlu kita contohi, kerana sesungguhnya perjuangan dalam menuntut ilmu adalah satu dari ibadah yang terpuji yang membawa seseorang ke syurga. Bagaimanapun, matlamat di sebalik menuntut ilmu itu lebih penting dari ilmu itu sendiri. Ketulusan menuntut ilmu dengan matlamat ketuhanan, untuk keredhaan Allah dan berbakti kepada makhluk-Nya, akan membawa seseorang ke syurga dalam kumpulan para Nabi dan Awliya. Ia juga adalah salah satu amalan yang tidak terputus pahalanya, sekalipun tulang belulang pemiliknya telah hancur ditelan tanah namun pahala ilmunya yang diajarkannya tetap mengalir.




katakan like jika best ya!

15 comments:

Anonymous said...

saya nak cari maklumat tentang imam ghazali untuk pembentangan. betul ke riwayat hidup imam ghazali yang enti tulis ni?

Anonymous said...

THANKS ALOT SIS..

Anonymous said...

mohon copy untuk siapkan kerja kursus. tq

Unknown said...

saya nk copy boleh untuk tugasan saya. jzkk

Anonymous said...

good

Anonymous said...

mohon copy . terima kasih

Anonymous said...

KENAPA TAK BOLEH COPY?!

Anonymous said...

okkk faham..kena rujuk banyak suber jugak..bukan ini sahaja

Unknown said...

mohon copy untuk siapkan assignment. tq.

Anonymous said...

mohon copy.. :) terima kasih..

Anonymous said...

mohon copy.. terima kasih..

Wan said...

mohon copy.. terima kasih..

Anonymous said...

mohon copy terima kasih..

Unknown said...

mohon copy for kerja kursus,terima kasih :)

Anonymous said...

mohon copy for kera kursus,thanks :)