Assalamualaikum dan salam sejahtera..
Apabila terlalu lama tidak mengajar, aku jadi rindu. Teramat rindu. Rindu mahu mendengar gelak tawa murid-muridku. Rindu mahu mengajar mereka satu persatu. Rindu untuk menegur mereka tiap kali mereka tersilap. Sesungguhnya kerinduan ini semakin bergejolak dan meronta-ronta membuat jiwa guru dalam hatiku ini semakin membara.
Tiga bulan semasa praktikum semester 7, dan sebulan semasa internship semester 8, mengajar Bahasa Melayu di Tahun 4 Nilam, banyak mengajarku untuk menjadi seorang guru yang sabar, kreatif, dan sistematik. Tambahan pula, Sekolah Kebangsaan Tengku Bariah ini merupakan perintis fasa dua bagi Program I-Think, maka setiap proses pengajaranku perlulah menyelitkan P&P menggunakan Peta Pemikiran I-Think. Perkara ini memerlukan aku bertindak cekap untuk menyesuaikan pengajaran mengikut rentak dunia pendidikan kini, memandangkan sebelum ini aku belum pernah menggunakan peta I-Think dalam pengajaranku lagi.
Namun, aku bersyukur pengalaman ini telah membuka mindaku, dan mengeluarkan aku daripada zon selesa. Aku jadi semakin tercabar, dan setiap hari aku akan ringan mulut untuk bertanya kepada guru-guru di SKTB ini bagaimana cara menerapkan kelapan-lapan Peta Pemikiran I-Think dalam pengajaranku. Tambahan pula, murid-muridku sudah didedahkan dengan aplikasi Peta I-Think ini, maka tidak menjadi masalah untuk aku mengajar mereka. Cuma, pada pengamatan aku, untuk kelas 4 Nilam ini, rangsangan perlu diberikan terlebih dahulu agar mereka boleh mencambahkan idea dan pengetahuan mereka ke dalam bentuk Peta I-Think ini.
Dalam pengajaran penjodoh bilangan, aku menggunakan Peta Bulatan, iaitu salah satu Peta I-Think yang paling asas bertujuan untuk mendefinisikan mengikut konteks penjodoh bilangan. Dengan menggunakan Peta Bulatan ini, secara berpasangan, aku meminta murid-murid menyenaraikan semua penjodoh bilangan yang mereka ketahui, dan mereka pernah jumpa.
Semasa P&P, aku dapat memerhatikan murid-murid jadi lebih fokus, serta berusaha mencari penjodoh-penjodoh bilangan, sama ada merujuk daripada buku teks, akhbar didik serta kertas-kertas ujian mereka yang lepas. Selain itu, menjalankan aktiviti secara berpasangan dapat menggalakkan penglibatan secara menyeluruh murid-murid, serta menggalakkan mereka bekerja secara koperatif biarpun dalam kumpulan yang kecil. Aku selesa menggunakan kaedah pengajaran secara berpasangan kerana kaedah ini dapat membantu aku dalam mengawal kelas serta secara tidak langsung memberi peluang untuk murid belajar cara belajar yang lebih efisien.
Secara keseluruhan, aku rasa penggunaan Peta I-Think ini sama sahaja seperti peta minda yang pernah kita ketahui dulu, namun lebih sistematik, berfokus dan menyeronokkan murid. Sebagai guru, aku berpendapat untuk mengaplikasikan penggunaan Peta I-Think ini, guru perlulah menguasai dan memahaminya terlebih dahulu. Murid-murid juga perlu didedahkan dengan kesemua jenis Peta Pemikiran I-Think agar mereka memahami konsep setiap jenis dan fungsi peta sekaligus dapat menyesuaikannya dalam pembelajaran mereka sehari-harian.
Nak baca lagi Alkisah Praktikum Cikgu Atiqah? Jom klik sini! ( link )
No comments:
Post a Comment